
Kami adalah koperasi yang berpusat di Negeri Perak, Malaysia, dengan penekanan pada penanaman sawit, jagung, pelaburan, pembiakan lembu, penyewaan hartanah, servis dron pertanian dan pemetaan serta pembenihan sawit.






Penubuhan Syarikat Pegawai Hutan Tahun 1953
Kesedaran yang membawa kepada penubuhan koperasi bermula dalam Tahun 1953 apabila Pegawai-pegawai Hutan Melayu berpakaian seragam Jabatan Perhutanan Negeri Perak yang terdiri dari jawatan-jawatan Renjer Hutan, Pengawas Hutan, Penjaga Hutan dan Anak Perahu Jabatan Hutan yang telahpun bersatu didalam Persatuan Pegawai-pegawai Hutan Melayu Jawatan Rendah, Semenanjung Tanah Melayu, Cawangan Perak yang mana telah ditubuhkan semenjak Tahun 1940 untuk berjuang bagi memperbaiki gaji, syarat-syarat perkhidmatan/pekerjaan dan kebajikan mereka, menyedari bahawa persatuan sekerja dan Syarikat kerjasama adalah dua pertubuhan pekerja-pekerja yang tidak boleh dipisahkan, telah melangkah setapak lagi kehadapan dengan menubuhkan satu syarikat kerjasama yang dinamakan “Syarikat Pegawai-pegawai Hutan Melayu Negeri Perak Bekerjasama-sama, Jimat Cermat, Membeli Harta dan Memperniagakan Modal Dengan Tanggungjawab Berhad” yang dipimpin oleh Allahyarham Sdr. Endut bin Shamsuddin sebagai Pengerusi, Allahyarham Sdr. Shamsuddin bin Mohd. Isa sebagai Setiausaha dan Allahyarham Sdr. Othman bin Din sebagai Bendahari untuk meninggikan taraf hidup dan ekonomi mereka secara ‘sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit’.
Dari Syarikat Kerjasama kepada Koperasi
Semenjak gerakan koperasi diperkenalkan di Semenanjung Tanah Melayu dalam tahun 1922 oleh kerajaan Inggeris untuk tujuan menggalakkan jimat-cermat dan pinjam-meminjam secara kerjasama diantara mereka yang menjadi ahli dikalangan pekerja dan petani, pertubuhan itu dipanggil dengan nama “Syarikat Kerjasama”. Selepas pemansuhan Ordinan Koperasi 1948 dan kuatkuasa Akta Koperasi 1993 Kerajaan memperkenalkan perkataan “Koperasi” yang berasal dari perkataan Inggeris “Cooperative” menggantikan perkataan “Syarikat Kerjasama”.




Sungguhpun dalam praktiknya Syarikat Kerjasama tersebut telah dibubarkan, tetapi ianya masih hidup subur dihati Allahyarham Sdr. Hj. Shamsuddin bin Mohd. Isa, mantan Setiausaha Syarikat. Dengan persetujuaan Allahyarham Sdr. Endut bin Shamsuddin, mantan Pengerusi, Allahyarham Sdr. Hj. Shamsuddin telah menjelajah keseluruhan Negeri Perak atas perbelanjaannya sendiri, bermalam dirumah rakan-rakan sejawat dan berkempen memberi penerangan dan semangat untuk menghidupkan semula syarikat kerjasama mereka. Beliau telah berjaya mengumpul persetujuaan seramai 200 orang. Satu mesyuarat khas telah diadakan dan sebulat suara mengambil keputusan menghidupkan semula syarikat kerjasama itu atas nama “Syarikat Pegawai Hutan Melayu Negeri Perak Dengan Tanggungan Berhad” didalam Tahun 1961 dengan keahlian permulaan seramai 200 orang; Pengerusinya Allahyarham Sdr Hj. Endut bin Shamsuddin, Setiausahanya Allahyarham Sdr. Hj. Shamsuddin bin Mohd Isa dan Bendahari Allahyarham Sdr. Hj. Ramli bin Mat Selan. Harga satu saham RM1.00 dan seseorang ahli perlu memiliki sekurang-kurangnya 100 saham (RM100.00). Dengan penubuhan semula syarikat itu, Jabatan Syarikat Kerjasama telah mengembalikan wang sebanyak RM750.00 itu kepada syarikat. Wang itu dijadikan modal permulaan. Sehingga akhir Tahun 1978 syarikat telah dapat mengumpul wang saham sebanyak RM150,000.00. Mesyuarat Agung yang ke-5 syarikat itu pada 20 April 1975 yang diadakan di Dewan St. John Ambulance Ipoh telah dirasmikan oleh YB Encik (Tun) Abd. Ghaffar Baba, Menteri pertanian dan Pembangunan Luar Bandar, Malaysia. Persetujuan YB Encik (Tun) Abd. Ghaffar Baba hadir dan merasmikan mesyuarat agung itu telah menaikkan moral, semangat dan keazaman ahli-ahli syarikat.
Di dalam tahun 1978, semakan dan pindaan telah dibuat keatas Undang-undang Kecil (UUK) Syarikat ini untuk memperkemas dan meluaskan aktivitinya. Kertas pindaan (UUK) itu yang telah disediakan dengan pertolongan Encik Mohamad bin Ahmad Paun mantan pegawai Jabatan Pembangunan Koperasi Perak selaku Penasihat kepada syarikat ini, telah diluluskan oleh Jabatan Pembangunan Koperasi, antaranya membawa perubahan-perubahan seperti berikut :
Nama syarikat diubah kepada “Koperasi Pegawai Hutan Melayu Negeri Perak” ringkasnya “KOOP PEHUMA”.
Seseorang yang dilantik menjadi Anggota Lembaga hendaklah memiliki saham sekurang-kurangnya satu ribu ringgit.
Pada masa itu Pengerusi koperasi ini bertukar kepada Allahyarham Sdr. Mohd Noor bin Ibrahim. Manakala Allahyarham Sdr. Hj Shamsuddin bin Mohd Isa terus menjadi Setiausaha dan Allahyarham Sdr. Bahari bin Md. Nor yang telah dilantik sebagai Bendahari semenjak bulan Disember 1973.
Koperasi Warisan Pegawai Hutan Melayu Negeri Perak Berhad Mencapai Kejayaan Baharu dengan Pembelian Tanah Ladang Sawit
Koperasi Warisan Pegawai Hutan Melayu Negeri Perak Berhad melalui anak syarikatnya, Koopehuma Sdn. Bhd., telah berjaya merealisasikan satu lagi pencapaian besar dengan pembelian tanah ladang sawit seluas 314.3883 ekar yang terletak di Kampung Selamat. Kejayaan ini menandakan satu lagi langkah strategik dalam memperkukuhkan kedudukan koperasi dalam sektor perladangan dan pertanian negara.


Pelaburan yang Mengukuhkan Masa Depan
Perolehan ladang ini menunjukkan bahawa pengurusan koperasi telah dibuat dengan baik sehingga berjaya menambah aset tanah sebanyak 314.3882 ekar. Kejayaan ini mencerminkan kecekapan dalam merancang strategi perladangan yang mampan dan berdaya maju.
Pembelian tanah ladang sawit ini adalah sebahagian daripada strategi jangka panjang koperasi untuk meningkatkan keupayaan dan daya saing dalam industri kelapa sawit. Dengan keluasan 314 ekar, ladang ini dijangka dapat menyumbang kepada peningkatan hasil pengeluaran dan seterusnya memberikan manfaat ekonomi yang lebih besar kepada ahli koperasi dan komuniti setempat.
Komitmen terhadap Kemampanan dan Kejayaan Ahli
Sebagai sebuah koperasi yang komited terhadap pembangunan mampan, pembelian tanah ini bukan sahaja bertujuan meningkatkan pendapatan koperasi tetapi juga untuk memastikan kelestarian industri perladangan sawit. Koperasi Warisan Pegawai Hutan Melayu Negeri Perak Berhad sentiasa berusaha untuk mewujudkan peluang pekerjaan, meningkatkan kemahiran tenaga kerja, dan mengukuhkan ekosistem perladangan yang lebih lestari.


Perancangan Masa Depan
Dalam usaha untuk memaksimumkan potensi tanah yang telah dibeli, koperasi melalui Koopehuma Sdn. Bhd. akan melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk penggunaan teknologi pertanian moden, amalan perladangan lestari, dan pembangunan infrastruktur sokongan bagi memastikan keberkesanan pengurusan ladang.
Menyahut Cabaran dan Meneroka Peluang Baru


Dengan kejayaan pembelian tanah ini, Koperasi Warisan Pegawai Hutan Melayu Negeri Perak Berhad terus menunjukkan komitmen yang tinggi dalam memperkukuhkan kedudukan sebagai peneraju dalam sektor perladangan kelapa sawit. Koperasi akan terus meneroka peluang baharu yang mampu memberikan nilai tambah kepada ahli dan komuniti setempat, selaras dengan visi untuk menjadi koperasi yang unggul dan berdaya maju.
Kami ingin mengucapkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan terhadap kejayaan ini. Semoga langkah ini membawa manfaat yang lebih besar kepada koperasi dan semua ahlinya.